top of page
29.png
Discover Keningau Admin

Batu Sumpah Keningau

Siri 3 Keningau: apa kaitan Batu Sumpah dan Ribut Greg


Reporter Kelkatuvtv


Catatan Perjalanan Kembara Sabah

(Oleh: Idzham Hadi Sidik)


Untuk siri ke 3 musafir saya ke negeri di bawah bayu, suka saya berkongsi perjalanan ke Keningau yang terletak di latitude dan longitud pada 5 20’0 U – 116 10’0 T. 

Keningau adalah bandar ke lima terbesar di Sabah. Kedudukannya bersempadan dengan daerah Ranau dan Tambunan di sebelah Utara manakalan Nabawan dan Tenom di sebelah Selatan, Tongod pula di sebelah Timur dan Papar di sebelah Barat sabah. 

Terdapat beberapa pekan kecil di daerah Keningan, antaranya ialah  Apin-Apin, Bingkor, Sook.

Dari Kota Kinabalu ke Keningau akan mengambil masa antara 2 jam hingga 2 jam setengah bergantung pada pemanduan, keadaan trafik. Anda akan melalui banjaran Crocker dan mengggunakan laluan Kimanis.

Jalan Kimanis ini merentasi banjaran Crocker sudah tentu bergunung ganang dan berselekoh, jika memandu sendiri perlu berhati-hati dan pastikan patuhi peraturan lalulintas.




Sungai Sinagang di Keningau, air jernih mengalir di celahan batu-batu menyimpan sejarah yang sangat penting dalam ikatan janji rakyat Sabah terutamanya di kawasan pedalaman Keningau untuk membentuk negara tercinta, Malaysia


Apabila berada di jalan Kimanis, anda akan melalui salah satu lokasi yang disebut sebagi “Bukit Ajaib”. Sebab di label sebagai Bukit Ajaib berikutan jika sesebuah kenderaan melalui bukit itu sambil mematikan enjin kereta, kenderaan anda didapati masih bergerak walaupun dalam keadaan mendaki. 

Kisah ini pernah saya visualkan dalam rancangan Rona Sabah terbitan RTM pada tahun 2010. Boleh rujuk di media sosial termasuk Youtube.


Selain memandu sendiri ke Keningau, anda boleh memilih untuk menaiki kenderaan awam. Anda boleh menaiki bas mini (van) dari Kota Kinabalu ke Keningau atau naik teksi Kota Kinabalu ke Keningau.

Lokasi terminal bas Kota Kinabalu Keningau terletak di Terminal Bas Bandaran di pusat bandaraya Kota Kinabalu. Anda hanya perlu pergi ke kawasan tersebut, kemudian bertanya, inshaAllah anda akan mendapat informasi yang betul untuk ke Keningau.

Kehadiran saya ke Keningau pada kali pertama, lokasi tujuan saya adalah Batu Sumpah Keningau dan kesan Ribut Greg yang berlaku pada tahun 1996.




Di sungai inilah asal sebuah monument pembentukan Malaysia diperolehi, namun tak ramai yang tahu perit jerih individu-individu yang pernah terlibat membawa naik sebuah batu persis genggaman tangan kiri yang dikenali sebagai Batu Sumpah Keningau


Pastinya, Masyarakat di Sabah umum mengetahui kisah Batu Sumpah Keningau. Secara ringkas saya ceritakan di sini. Batu Sumpah yang terletak dihadapan Muzium Warisan Keningau telah didirikan pada tahun 60 an atas Perjanjian di antara Parti Pasok Momogun yang diketuai oleh mendiang Y.Bhg. Datuk G. S. Sundang @ Datuk Gunsanad Samson Sundang dan mendiang OKK Sodomon Bin Gunsanad dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk menghormati hak kebebasan beragama, adat istiadat anak rakyat Negeri Sabah oleh Kerajaan Malaysia dan rakyat Negeri Sabah, Penduduk Bahagian Pedalaman Atas (Keningau) bersumpah  taat setia kepada Kerajaan Malaysia.


Berkesempatan menemubual Tuan Mohd Amir Arif, pada Ketika itu menjawat jawatan sebagai Ketua Daerah atau Orang Kaya-Kaya (OKK) Keningau, menjelaskan Batu Sumpah Keningau, monument yang amat penting dan mempunyai nilai sejarah dalam pembentukan Gagasan Malaysia.




Proses pemindahan Batu Sumpah Keningau di depan Pejabat Daerah sebelum di bawa ke perkarangan Muzium Warisan Keningau


Batu sumpah ini didirikan ketika timbul kebimbangan di kalangan ketua-ketua kaum atau Orang Kaya Kaya (OKK) mengenai hak hak Sabah (Borneo Utara) ketika memilih untuk bersama-sama Malaysia.


OKK Sedomon dan G.S Sundang pada ketika itu berpandangan bahawa walaupun konsep perlembagaan bertulis dan 20 perkara jaminan dibincangkan dalam mesyuarat  IGC, tetapi tanpa simbol tradisional melalui adat istiadat tempatan, mereka berpendapat ia sukar dikekalkan.


Oleh itu dengan adanya upacara kepercayaan ritual secara adat istiadat tempatan, sesiapa yang melanggar perjanjian seperti yang dimeterai pada batu sumpah dipercayai akan ditimpa bencana dan menanggung musibah.




Upacara ritual pemindahan Batu Sumpah Keningau pada tahun 2018


Lokasi batu sumpah sudah 2 kali dipindahkan dari tempat asal, terakhir pada Ahad, 9 September 2018. Batu sumpah ini dipindahkan dari tapaknya di depan pejabat daerah Keningau ke bangunan Muzium daerah Keningau.

Saya sendiri berkesempatan menghadiri majlis memindahkan Batu Sumpah Keningau ini. Ia dijalankan dengan penuh adat istiadat dan ritual suku kaum Kadazan Dusun dan Murut.


Kunjungan saya seterusnya di daerah Keningau adalah untuk melihat sendiri kesan bencana Ribut Greg yang berlaku pada tahun 1996.


Mengikut rekod, Ribut Tropika Greg merupakan siklon tropika terakhir yang terbentuk dalam musim taufan Lautan Pasifik bagi tahun 1996. Dikesan mula terbentuk daripada lekukan tropika di Laut China Selatan pada 24 Disember pukul 2.00 petang (waktu Malaysia), ribut ini membadai Sabah pada 26 Disember, dengan korban 238 nyawa, manakala 102 orang lagi dilaporkan hilang. Ribut ini juga mengakibatkan kemusnahan harta yang besar di negeri Sabah. Ribut telah melenyap pada 28 Disember di Laut Sulawesi. Bencana ini merupakan antara bencana yang terburuk dalam sejarah negara. [sumber: Wikipedia].




Batu sumpah keningau di tapak baharu depan muzium warisan keningau


Pada 26 Disember jam 5.30 pagi, apabila polis menerima laporan mengenai ribut ini dan menjumpai korban pertama, operasi mencari dan menyelamat dengan kekuatan kira-kira 300 orang daripada pelbagai badan dilancarkan. Mereka termasuklah 24 orang ahli SMART dengan dilengkapi anjing pengesan, pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja, dan Tentera Udara Diraja Malaysia.


Ketua Menteri Sabah pada waktu itu, Datuk Yong Teck Lee menggerakkan Jawatankuasa Bencana Alam Negeri. Manakala tindakan yang serupa bagi peringkat daerah di pantai barat diarahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Datu Khalil Datu Jamalul.



Pada pagi 27 Disember, pasukan SMART dikerahkan ke Keningau bersama-sama 25 orang anggota polis tugas am, 60 anggota Pasukan Polis Hutan, 10 Pengakap Sempadan dan 109 anggota Tentera Darat Diraja Malaysia.

Pada 30 Disember, kerajaan negeri Sabah dijadualkan untuk memulakan kerja-kerja pemulihan di sebelas daerah yang mengalami kesan akibat ribut ini.


Pengumuman penghentian gerakan mencari dan menyelamat mangsa dibuat oleh Pembantu Menteri Perkhidmatan Sosial Sabah, Datuk Markus Majihi pada 17 Januari 1997 walaupun 102 orang mangsa yang dilaporkan hilang masih tidak ditemui. Ahli Jawatankuasa Bencana Alam Negara, Datuk Mohamed bin Rahmat yang juga Menteri Penerangan Malaysia pula mengumumkan bahawa pengiraan mangsa hilang akan dilancarkan pada 23 Januari 1997. Proses ini dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Keningau dengan kerjasama polis dan tentera. Dalam masa yang sama, beliau menggesa supaya ketua masyarakat Indonesia dan Filipina turut bekerjasama dalam proses ini. [sumber: Wikipedia].


Selain dua lokasi ini, Keningau turut menyimpan pelbagai khazanah alam yang cantik antaranya aliran sungai dengan air jernih dan hutan hijau memukau mata memandang.


Anda juga boleh melawat Memorial Perang Keningau, kemudian anda boleh bersantai di Gua Laing. Gua ini disenaraikan sebagai destinasi pelancongan terbaharu di Keningau. Terdapat tiga laluan masuk ke Gua laing ini dan ia memerlukan kesabaran yang tinggi untuk masuk ke dalam gua.



Pusat Rekreasi Taman Bandukan juga boleh dilawati kerana ia adalah sebuah tempat rekreasi di Keningau yang penuh dengan aktiviti. Selain itu terdapat 3 air terjun di Keningau yang boleh anda jadikan sebagai tempat mandi manda. 


Bagaimanapun untuk sampai ke air terjun itu, anda perlu berjalan kaki untuk sampai ke sana. 

Crocker Range Park juga perlu anda singgah untuk menyaksikan keindahan flora dan fauna di situ, ia sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Bagi pencinta alam sekitar inilah lokasi yang wajib anda lawati untuk melihat sendiri tapak bunga Raflesia, memerhati burung, boleh berkhemah dan melawat zoo mini.


Banyak lagi yang hendak saya kongsikan berkaitan Keningau. Jika berminat anda boleh mendapatkan buku bertajuk “Destinasi tersembunyi di Sabah” yang bakal diterbitkan.


1 view0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page